RULES OF BENEVOLENT FUND
PERATURAN 1 - NAMA
i) Tabung ini hendaklah dinamakan Tabung Kebajikan Kesatuan Sarawak Bank
Employees' Union.
ii) Tabung Kebajikan ini hendaklah disebut selepas ini sebagai "Tabung"
dan Kesatuaan Sarawak Bank Employees' Union sebagai "Kesatuan" sahaja.
PERATURAN 2 - TUJUAN
Tabung ini ditubuhkan bagi tujuan-tujuan berikut:-
i) untuk membolehkan penama ahli atau waris ahli yang sah mendapat
bantuan apabila berlaku kematian ahli itu;
ii) untuk memberi faedah bersara kepada ahli-ahli; dan
iii) untuk memberi bantuan biasiswa kepada ahli-ahli dan anak-anak ahli.
PERATURAN 3 - AHLI
i) Semua ahli Kesatuan ini dengan sendirinya menjadi ahli Tabung
Kebajikan ini.
ii) Seseorang ahli Kesatuan ini yang berhenti menjadi ahli Kesatuan
dengan sendirinya terhenti dari menjadi ahli Tabung ini. Seseorang ahli
yang terhutang yurannya selama tiga bulan atau lebih tidak berhak
menerima apa-apa faedah yang ditentukan dalam Peraturan Peraturan ini.
iii) Setiap ahli Tabung ini akan diberi salinan sijil keahlian Tabung
Ini. Sekiranya sijil ini hilang, ahli akan diberi salinan sijil yang
baru dengan dikenakan bayaran sebanyak RM2.00.
iv) Setiap ahli Tabung ini berhak menerima satu salinan Peraturan Tabung
ini.
PERATURAN 4 - YURAN
i) Setiap ahli akan dikenakan bayaran yuran bulanan sebanyak RM30-00
(SK 15/6/2012(1) wef 3 January 2012) untuk Tabung ini.
ii) Penambahan didalam kadar bayaran ini akan hanya dilakukan setelah
ahli yang layak, mengadakan undi sulit.
iii) Setelah menerima pembayaran yuran bulan pertama, nama ahli
berkenaan akan dimasukkan kedalam buku daftar ahli.
iv) Setiap ahli akan membayar yuran bulanan sebanyak RM30-00
bersama dengan bayaran yuran bulanan keahlian Kesatuan.
PERATUTAN 5.- PENTADBIRAN
Tabung ini hendaklah ditadbirkan oleh Majlis Jawatankuasa Agung
Kesatuan.
PERATUTAN 6 - SIMPANAN BANK
i) Semua wang Tabung ini hendaklah disimpan di dalam Bank yang
diluluskan oleh Majlis Jawatankuasa Agung, atas nama Tabung Kebajikan,
dan kira-kiranya hendaklah diselenggarakan bersama-sama oleh Yang Di
Pertua, Setiausaha Agung dan Bendahari Agung Kesatuan.
PERATUTAN 7 - REKOD-REKOD
i. Bendahari Agung hendaklah menyediakan dan menyimpan buku kira-kira
yang berasingan bagi Tabung ini.
ii. Buku-buku yang berikut hendaklah diselenggarakan oleh Bendahari
Agung :
a) sebuah Buku Tunai;
b) sebuah Daftar Penama;
c) Sebuah Daftar pemohon-pemohon faedah kematian dan bersara yang
menunjukkan nama dan butir-butir pemohon;
d) sebuah Daftar pemohon-pemohon biasiswa dengan menunjukkan nama dan
butir-butir berkenaan dengan pemohon-pomonon itu;
e) sebuah Daftar yang menunjukkan tarikh dan segala butir-butir
berkenaan dengan biasiswa yang deberikan kepada ahli dan anak-anak ahli;
f) buku-buku lain yang difikirkan perlu oleh Majlis Jawatankuasa Agung.
iii. Setiausaha Agung Kesatuan hendaklah menyelenggarakan segala
surat-menyurat berkenaan dengan Tabung ini.
PERATUTAN 8 - PENAMA
Tiap-tiap ahli Tabung ini hendaklah melantik seorang penama. Satu borang
penama seperti yang ditentukan oleh Kesatuan hendaklah dipenuhkan oleh
tiap-tiap ahli dan dihantarkan kepada Setiausaha Agung. Segala
pertukaran penama atau pindaan kepada butir-butir berkenaan dengan
penama itu hendaklah diberitahu dengan segera kepada Setiausaha Agung.
Jika tidak ada penama yang dilantik, wang faedah itu hendaklah dibayar
kepada waris ahli yang sah di sisi undang-undang.
PERATURAN 9 - PERTUKARAN ALAMAT AHLI
Adalah menjadi kewajipan ahli untuk memberitahu Setiausaha Agung tentang
pertukaran alamatnya. Jika gagal berbuat demikian, alamat yang ada
didalam rekod adalah dianggap sebagai alamat ahli yang sah.
PERATURAN 10 - KELAYAKAN MENDAPAT FAEDAH
i. Tertakluk kepada Peraturan 3(ii) Peraturan Tambahan Tabung Kebajikan
ini, Faedah-Faedah Biasiswa dan Faedah-Faedah Bersara di bawah
peraturan-peraturan ini tidaklah boleh dibayar kecuali ahli itu telah
mencarum kepada Tabung ini dengan tidak putus-putus selama
sekurang-kurangnya 12 (dua belas) bulan (SK/15/4/2010 (1) wef
18/5/2010).
ii. Faedah-Faedah kematian pula hanya boleh dibayar setelah bermula
tahun kewangan bagi tahun hadapan berikutan dangan pendaftaran Peraturan
Tambahan ini.
PERATURAN 11 - FAEDAH KEMATIAN
i. Tertakluk kepada Peraturan 3(ii) pembayaran Faedah Kematian akan
dibuat jika berlaku kematian ahli.
ii. Jumlah Faedah Kematian ini ialah RM2,000.00 (SK/15/4/2010
(1) wef 18/5/2010).
iii. Wang Faedah Kematian ini akan diserahkan kepada penama atau waris
ahli yang meninggal dunia tidak lewat daripada 30 hari setelah dokumen
dan sijil kematian ahli dikemukakan kepada Setiausaha Agung Kesatuan.
PERATURAN 12 - FAEDAH BERSARA
i. Tertakluk kepada Peraturan 3(ii) pembayaran Faedah besara akan diberi
kepada;
a) ahli yang layak dan bersara;
b) ahli-ahli yang berhenti menjadi ahli Kesatuan oleh kerana dinaikan
pangkat kepada satu kategori yang di luar lingkungan keahlian
Kesatuan (SK 15/7/2013(1) WEF 12/4/213) atau berhenti kerja.
ii. Jumlah Faedah Bersara ialah jumlah keseluruhan yuran yang dicarumkan
berserta dividen daripada nya.
iii. Jumlah dividen yang akan diberi akan ditetapkan oleh Majlis
Jawatankuasa Agung yang diluluskan oleh Persidangan Perwakilan
iv. Faedah dibawah Peraturan ini tidak akan dibayar kepada ahli jika
ahli itu tersingkir dari menjadi ahli kesatuan.
PERATURAN 13 - PEMBERIAN BIASISWA
i. Tertakluk kepada Peraturan ini, Majlis Jawatankuasa Agung hendaklah
mengeluarkan biasisawa daripada Tabung ini pada tiap-tiap tahun kepada
ahli-ahli and anak-anak ahli yang layak. Bilangan biasiswa yang
dikeluarkan itu serta nilainya akan ditetapkan oleh Majlis Jawatankuasa
Agung menurut timbang bicaranya.
ii. Jumlah wang yang dikeluarkan bagi tiap-tiap biasiswa hendaklah
dibayar setahun terlebih dahulu, tetapi sebelum dibayar wang untuk tahun
yang kedua hendaklah terlebih dahulu diperoleh laporan mengenai
kemajuan, kerajinan dan kelakuan pemegang biasiswa tersebut dari Guru
Besar, Pengetua, atau Pendaftar Pusat Pengajian Tinggi. Jika pada
pendapat Majlis Jawatankuasa Agung laporan mengenai penuntut itu tidak
memuaskan, maka biasiswa itu boleh diberhentikan.
iii. Biasiswa-biasiswa ini akan ditarik balik dengan serta merta apabila
penuntut itu diberhentikan dari Sekolah, Kolej atau Pusat-Pusat
Pengajian Tinggi atas alasan tatatertib atau sekiranya ibu atau bapanya
terhenti dari menjadi ahli yang berhak Kesatuan ini.
iv. Majlis Jawatankuasa Agung hendaklah mengemukakan satu laporan
mengenai pemberian biasiswa ini di Persidangan Perwakilan.
v. Biasiswa ini tidak boleh dikeluarkan kepada seseorang penuntut yang
sedang menerima sebarang bantuan, biasiswa atau pemberian dari
sumber-sumber lain.
PERATURAN 14 - AUDIT
i. Kira-kira tabung ini hendaklah diauditkan dengan cara yang sama
mengikut kehendak Peraturan 15 dan 16 Peraturan-Peraturan Kesatuan.
ii. Laporan Penyata kira-kira Tabung ini yang telah di audit hendaklah
dilulus oleh Persidangan Perwakilan dan satu salinan akan diberi kepada
tiap-tiap ahli Tabung ini.
PERATURAN 15 - PELABURAN
i. Wang yang terkumpul dari Tabung ini yang berlebihan dan tidak
digunakan untuk pembayaran Faedah-Faedah di bawah Peraturan ini akan
dilaburkan untuk mendapat keuntungan-keuntungan
ii. Pelaburan wang tabung ini hanya akan dilaksanakan mengikut kehendak
Akta Kesatuan Sekerja 1959, Peraturan-Peraturan Kesatuan dan setelah
diluluskan oleh Persidangan Perwakilan Kesatuan.
PERATURAN 16 - PERKARA-PERKARA YANG TIDAK DINYATAKAN DALAM PERATURAN-
PERATURAN TAMBAHAN
Keputusan Majlis Jawatankuasa Agung adalah muktamad mengenai
perkara-perkara yang tidak dinyatakan di dalam Peraturan Tambahan ini
melainkan jika dibatalkan oleh Persidangaan Perwakilan.
PERATURAN 17 - PERBELANJAAN PENTADBIRAN
Wang dari Tabung ini hanya boleh digunakan bagi membayar faedah Kematian
ahli, faedah ahli bersara dan untuk mengeluarkan biasiswa mengikut
syarat-syarat yang dinyatakan dalam peraturan tambahan ini. Segala
perbelanjaan berhubung dengan pentadbiran Tabung ini hendak dibayar dari
Tabung Am Kesatuan.
PERATURAN 18 - TUNTUTAN
Semua tuntutan yang dibuat dibawah peraturan ini hendaklah dibuat dengan
mengisi borang yang tetapkan oleh Kesatuan.
PERATURAN 19 - FAEDAH YANG TIDAK DITUNTUT
Faedah Kematian dan Faedah Bersara yang tidak dituntut oleh ahli atau
waris ahli akan disimpan didalam Bank untuk tempoh 2 tahun dan sekiranya
ianya masih tidak dituntut setelah tamat tempoh tersebut, Majlis
Jawatankuasa Agung akan memperakukan kepada Persidangan Perwakilan agar
meluluskan pemindahan faedah tersebut kepada Tabung Am Kesatuan.
PERATURAN 20 - PENAMBAHAAN DAN PINDAAN PERATURAN-PERATURAN
Penambahan atau pindaan kepada Peraturan Tambahan ini tidak boleh dibuat
melainkan dengan mengikut Peraturan 24 dari Peraturan-Peraturan Kesatuan
dan segala tambahan atau pindaan itu tidak boleh dikuatkuasakan sehingga
didaftarkan oleh Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja.
PERATURAN 21 - PEMBUBARAN
Jika Majlis Jawatankuasa Agung berpendapat bahawa disebabkan oleh
kedudukan kewangan Tabung ini tidak boleh lagi diteruskan maka satu
ketetapan bagi pembubarannya akan diambil dengan undi sulit oleh semua
ahli yang berhak. Tabung ini tidak boleh dibubarkan dengan sukarela
kecuali dengan persetujuan 75% dari ahli-ahli yang berhak mengundi.
Apabila Tabung ini dibubarkan, segala tanggungan dan hutangnya
diselesaikan dan bakinya, jika ada, hendaklah dipindahkan kepada Tabung
Am Kesatuan
|